14/07/2009

Majlis Pelancaran Pembestarian Sek Men Keb Ampang Pecah

SELASA, 12 Mei 2009 - Sek Men Keb Ampang Pecah telah terpilih sebagai sekolah bestari kategori luar bandar. Oleh itu, telah berlangsungnya majlis pelancaran pembestarian sekolah serta Mesyuarat Pasukan Sokongan Strategik Sekolah Bestari (PSSSB). Majlis pelancaran telah berlancar dengan jayanya dan dirasmikan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Selangor, Dr. Hj Zahri b Aziz. Turut hadir ialah pengetua serta wakil pengetua dari sekolah lain serta Pengerusi Persatuan Ibu Bapa (PIBG) En. Mohd. Noor b Abbas.




Majlis pelancaran bermula dengan menyambut ketibaan para tetamu pada pukul 8 pagi diikuti dengan ketibaan Pengarah Pelajaran Negeri Selangor, Dr. Hj Zahri b Aziz. Beliau telah disambut dengan paluan kompang serta iringan bunga manggar oleh ahli Briged Bestari. Seterusnya beliau melancarkan pembestarian Sek Men Keb Ampang Pecah. Para tetamu menikmati sarapan pagi yang telah disediakan sebelum menghadiri Mesyuarat PSSSB.


Para tetamu turut diberikan hadiah cenderahati dari pihak sekolah iaitu penanda buku serta brosur-brosur yang telah disiapkan oleh ahli Briged Bestari. Selepas tamat mesyuarat PSSSB iaitu pada pukul 12.30 tengah hari, mereka telah melawat ke Pusat Akses Sekolah serta Makmal Komputer Sekolah.


Selepas lawatan tersebut, mereka telah dibawa ke Dewan Perdana untuk jamuan makan tengah hari. Selain itu, mereka turut disajikan dengan pelbagai persembahan daripada murid Sek Men Keb Ampang Pecah.


Majlis Pelancaran Pembestarian Sekolah telah berjalan dengan lancar dan jayanya. Warga sekolah amat berbesar hati untuk menerima kedatangan Pengarah Pelajaran Negeri Selangor, Dr. Hj Zahri b Aziz serta pengetua-pengetua dari sekolah lain untuk menjayakan majlis ini. Para guru, murid-murid serta ahli Briged Bestari telah bertungkus -lumus untuk menjayakan majlis ini.



1 comment: